Monday, August 10, 2009

0

P.H.D (Perasaan Hasad Dengki)

Dari Nabi SAW, sabdanya: Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu
saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian hasad,
dan janganlah kamu saling membelakang tidak berteguran, jadilah kamu
sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. (H.R Bukhari dan Muslim) SYARAH

AL HADIS:
Salah satu larangan keras baginda Rasul SAW dalam hadis diatas ialah agar
kita jangan saling berdengkian hasad.

Hasad adalah dosa pertama diatas muka bumi kerana sifat buruk inilah yang
mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Dan sifat tercela ini jugalah
yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama diatas muka bumi antara Qabil
dan Habil, dan yang mendorong Abu Jahal enggan mengakui kerasulan Nabi
Muhammad SAW.

MAKNA HASAD DENGKI:
Jika seseorang mendapat nikmat, maka kita yang melihat dan
mengetahui keadaan itu akan berada diantara dua keadaan: Jika kita benci
dengan nikmat yang diperolehinya. Lalu kita menginginkan agar nikmat tersebut luput
hilang daripadanya, sama ada agar nikmat itu berpindah kepada kita ataupun
tidak. Inilah yang dinamakan dengan hasad. Jika kita tidak benci terhadap
nikmat yang diperolehinya dan tidak pula mengharapkan agar ia hilang daripadanya.
Tetapi sebagai manusia biasa kita menginginkan agar kita juga memiliki
nikmat seumpama itu. Inilah yang disebut dengan ghibtah yakni iri hati.

HUKUM HASAD:
Hukum hasad adalah haram yakni dosa, sedangkan ghibtah pula
adalah dibolehkan dan terpuji. Dan barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW.: Ertinya:
Tiada hasad (yang dibolehkan) kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang
Allah anugerahkan harta, lalu ia gunakan harta tersebut pada jalan
kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut
serta diajarkannya kepada manusia lain. (H.R Bukhari dan Muslim).

SEBAB-SEBAB HASAD:
Sungguh banyak faktor yang menyebabkan seseorang
bersifat hasad dengki, antaranya yang terpenting:

-Adaawah permusuhan.
-Takabbur atau sombong.
-Ta'azzuu atau benci jika ada orang lain yang dapat mengatasinya)
-Bakhil lokek.
-Khubthun Nafsi (busuk hati).
-Hubbul Jaah atau gila kuasa.

BAHAYA HASAD:
Sifat hasad termasuk kedalam salah satu penyakit hati yang
terbesar. Hasad bukan saja dapat membinasakan dunia seseorang, tetapi juga akhiratnya.
Dan diantara bahayanya:

Hasad adalah sifat Iblis. Sedangkan sifat para Rasul
dan Wali Allah adalah sebaliknya.


Mereka akan memberi tahniah ucap selamat
kepada orang-orang mendapat nikmat sambil mengucapkan : Semoga Allah memberkati
engkau

Hasad merosak amalan.

Sabda Nabi SAW.:
Sesungguhnya hasad memakan amal baik sebagaimana api makan kayu api. (H.R
Ibnu Majah).

Hasad dapat merosak akidah.

Setiap nikmat yang Allah swt
kurniakan kepada seseorang adalah berdasarkan ketentuan taqdir yang
termaktub
di dalam Luh Mahfuz sejak azali. Oleh itu jika kita benci terhadap nikmat
yang Allah anugerahkan kepada seseorang, itu bererti secara tidak langsung kita
benci dan tidak redha dengan Takdir Allah.

HASAD, GHIBTHAH, MUNAAFASAH.
Tiga istilah diatas hampir bersamaan maknanya. Tetapi sebenarnya masing masing mempunyai makna tersendiri:

HASAD (DENGKI): Engkau suka jika hilang nikmat dari saudaramu seagama tanpa
sebab yang dibenarkan oleh syarat (agama). Hukumnya adalah haram.

GHIBTHAH (IRI HATI ): Engkau menginginkan suatu nikmat seperti nikmat yang
diperolehi oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar
nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sikap ini adalah terpuji
(mahmudah).

MUNAAFASAH (KOMPETISI): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu
sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu seagama, atau engkau bekerja keras kerana
ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Hanya saja sikap ini hanya
diperbolehkan dalam batas batas kemampuan manusia. Oleh sebab itu kadang kadang kompetisi ini hukumnya wajib, iaitu jika berkompetisi (berlumba-lumba) menjauhi
perkara maksiat dan berlumba-lumba melakukan perkara-perkara wajib. Kadang-kadang
hukumnya hanya sunat, seperti berlumba-lumba meninggalkan perkara-perkara
makruh atau melakukan amalan sunat. Dan kadang kadang hukumnya hanya mubah atau boleh
iaitu seperti berlumba-lumba dalam perkara mubah seperti dalam bidang pertanian, perindustrian, penemuan-penemuan baru dan lain sebagainya.

CARA MENGUBATI HASAD:
Hasad adalah penyakit hati yang amat berbahaya. Penyakit-penyakit hati tidak mungkin diubati melainkan dengan dua cara iaitu ilmu dan amal.

1. ILMU: Ilmu yang berguna untuk mengubati penyakit hasad ialah kesedaran
atau pengetahuan kita tentang hakikat dibawah ini, bahawa: Hasad, dapat
merosak
agama dan dunia kita. Orang yang kita hasadkan sedikitpun tidak rosak agama
dan dunianya. Orang yang dihasadkan akan mendapat manfaat dari kita kelak di
akhirat kerana dia telah di zalimi. Hasad tidak dapat melenyapkan nikmat
dari seseorang. Hasad dapat merosak akidah dan amal orang berkenaan. Orang
yang
hasad sebenarnya adalah musuh bagi dirinya sendiri, dan sebaliknya menjadi
kawan bagi musuhnya.

2. AMAL: Adapun amal yang berguna untuk mengubati sifat hasad ialah memaksa
dirinya melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak hatinya yang hasad
itu. Oleh itu sekiranya timbul rasa benci dan dendam kepada orang yang
didengkinya, maka ketika itu hendaklah ia memuji dan ucapkan tahniah
kepadanya.
Dan sekiranya timbul perasaan takabbur atau sombong atau ego kepada orang
yang didengkinya, maka ketika itu hendaklah ia bersikap tawaadhu' (rendah
diri).


Dan sekiranya timbul perasaan ingin menahan suatu pemberian kepadanya, maka
ketika itu tambahlah pemberian kepadanya melebihi daripada biasa.
Diriwayatkan
bahawa Salafus Salih jika mereka mengetahui ada orang yang dengki, mengumpat
atau memfitnah mereka, maka mereka segera kirimkan hadiah kepada orang
tersebut
sebagai tanda terima kasih diatas jasa baik mereka itu. Semoga Allah
memperbanyak orang hasad kepadamu Ini adalah
pepatah atau
bidalan orang-orang Arab.

Ungkapan ini sepintas lalu seperti tidak baik kedengarannya kerana
kandungannya seolah-olah kita berdoa agar Allah menambah bilangan orang yang
hasad kepadanya.
Tetapi sebenarnya kandungan ungkapan ini adalah baik kerana kita berdoa
kepada Allah agar ia menjadi orang yang baik. Mengapa demikian? Kerana hasad
biasanya
tidak akan menimpa seseorang melainkan jika orang dihasadkan tersebut
mendapat niĆ¢€™mat. Hasad biasanya menimpa seseorang kerana ketinggian
pangkatnya dan
biasanya bukan kerana kerendahan pangkatnya atau kerana kekayaannya dan
bukan kerana kefakirannya atau kerana kepintarannya dan bukan kerana
kebodohannya
atau kerana banyak pengikutnya bukan kerana sedikit pengikutnya atau kerana
kemajuannya dan bukan kerana kemerosotannya atau kerana keberaniannya bukan
kerana ketakutannya atau kerana kefasihannya dan bukan kerana kebebalannya
atau kerana kemuliaannya dan bukan kerana kerendahannya dan lain lain.

Dan ditinjau dari sudut lain pula, kelak orang yang didengki di dunia ini
akan mendapat banyak pulangan pahala di akhirat dari orang-orang yang
mendengkinya.
Dan semakin banyak orang yang dengki kepadanya adalah justeru lebih baik.
Yang mustahak, marilah kita berusaha menegakkan kebenaran diatas muka bumi
ini.
Kita mesti menentang segala bentuk kesyirikan, khurafat dan bid'ah. Kita
mesti tabah menghadapi kedengkian pihak pihak tertentu yang barangkali
merasakan
dirugikan kerana ajaran yang kita bawa. Sebenarnya kalaulah atas dasar
kebenaran dari Allah dan Rasul-Nya yang kita sebarkan akhirnya menimbulkan
kedengkian
orang, maka kita sepatutnya alu-alukan kedengkian itu. Malahan semakin
banyak jumlahnya adalah semakin baik supaya besar pula pulangannya di
akhirat nanti.

0 comments:

Post a Comment

Lebanese Singers Lubnan-alkawi.com - Ma Kholsit El 7keyeh .mp3
Found at bee mp3 search engine